Monday, 3 April 2017

Padang Kemunting : Menjejaki Si Ninja Lautan

Assalamualikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca setia. Sudah lama saya tidak mengemaskini blog ini dek kekangan masa kemalasan. Sudah lama tertangguh hasrat hati mahu menerbitkan entri terbaharu semenjak percutian di Pulau Penang pada bulan September tahun lepas. Namun disebabkan entri tersebut amat panjang dan memakan masa, saya terpaksa menangguhkan dahulu hasrat hati. Sudah menjadi tabiat manusia, menangguhkan kerja itu boleh menukarkan sifat rajin kepada malas yang maha sangat! 

Maka, entri berkenaan saya dan keluarga saya bercuti di Pahang pada 20-21 Mac yang lalu juga terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada entri pendek ini.

Maka, para pembaca, jangalah dilayankan perasaan malas itu ya. Kalau tidak, jangan kata malas, lansung tidak melakukan apa-apa juga hasilnya nanti!

Baiklah, lupakan sejenak perasaan malas itu. Tumpukan perhatian anda kepada entri saya kali ini. Hari ini, saya mahu membawa anda menyelam sedikit ke dasar laut dan menyelongkar sebuah lagi salah satu daripada 7 keajaiban semula jadi Melaka!

Ergh..... menyelam?

Bukan disuruh menyelam atau scuba diving, tetapi saya mahu membawa anda melihat satu lagi keunikan alam yang ramai dalam kalangan kita termasuk saya sendiri memandang enteng terhadap makhluk ciptaan Tuhan ini.

Penyu.....

Misi saya kali ini, menjejaki saki baki peninggalan Ninja Turtle di Melaka.

What??? Melaka?

Bila masa Melaka ada penyu?

Itulah, rakyat Melaka sendiri pun tidak tahu tentang kewujudan pusat penetasan serta konservasi penyu di negeri sendiri. Memalukan betul. Aishhh

Tetapi, saya ingin katakan bahawa pengembaraan saya kali ini sangat unik kerana bukan hanya penyu yang menjadi destinasi utama saya dan adik saya tetapi beberapa lagi tempat menarik di sekitar utara Melaka yang ramai dan JARANG a.k.a TIDAK pernah diketahui.

Cambest saja bunyi. Nak tahu? Teruskan pembacaan anda!

Sebut sahaja penyu, ramai terfikir tentang Rantau Abang, Terengganu. Jangan katakan satu Malaya, hampir satu dunia kenal dan tahu apa yang ada di sana. Penyu...penyu...oh penyu... Tetapi ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan Pusat Konservasi & Penerangan Penyu Karah, Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah, Melaka.


Apa yang menarik tentang tempat ini?

Untuk itu, kita singkap terlebih dahulu sedikit sebanyak sejarah pusat ini dan mengapa saya meletakkannya sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban alam semula jadi negeri Melaka!

Sejarah

Pusat penetasan penyu karah di Melaka yang pertama dibuka di Pulau Besar dan kemudiannya dipindahkan ke Padang Kemunting pada tahun 1990 ekoran kos pengurusan dan penyelenggaraan yang tinggi di sana. Pusat ini merupakan pusat penetasan dan penerangan kepada orang awam berkaitan penyu dan ia merupakan SATU-SATUNYA di Melaka.

Spesis Tercantik

Terdapat tujuh spesis penyu di dunia dan hanya empat sahaja yang boleh ditemui dan mendarat di persisir pantai Malaysia iaitu, Penyu Agar/Hijau, Penyu Belimbing, Penyu Lipas dan Penyu Karah. Daripada empat spesis tersebut, Penyu Karah merupakan spesis tercantik di dunia kerana ia memiliki mulut seperti paruh helang, cengkerang seakan corak batik dan bintik-bintik hitam di cengkerangnya. Maka, tidak hairanlah penyu Karah dikenali sebagai Hornbills Turtle dalam Bahasa Inggeris. Ini juga menjadikan mengapa penyu Karah menjadi kegilaan manusia duniawi yang mahukan cengekerangnya sebagai hiasan. Ekoran itu, spesis ini semakin terancam dan bagi melindunginya, pusat-pusat konservasi penyu diwujudkan di beberapa kawasan di negeri-negeri yang terpilih.

Apa yang unik adalah, daripada empat spesis yang boleh ditemui di negara ini, Melaka hanya menerima 'kinjungan' dan pendaratan penyu Karah. Ini berbeza di Rantau Abang yang menerima keempat-empat spesis tersebut. Soalan ini saya telah ajukan kepada salah seorang staf yang bertugas di sana, namun beliau sendiri tidak mengetahui jawapan tepat.

Situasi ini juga berlaku di Pantai Kerachut, Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang yang disingahi oleh saya tahun lepas dimana, hanya spesis penyu Agar sahaja yang mendarat di Pulau Pinang dan spesis lain tidak terlibat.

Sebenarnya, terdapat beberapa kawasan di sepanjang persisiran pantai Melaka menerima 'kunjungan hormat' penyu Karah ini. Ia termasuk di Pasir Gembur, Merlimau, Pulau Besar, Pulau Upeh, Tanjung Bidara, Padang Kemunting, Pengakalan Balak sehingga ke Kuala Linggi. Ini kerana, jika dilihat kepada persamaan kawasan ini, kawasan tersebut memiliki beberapa terumbu karang kecil dan juga paya bakau yang menjadi pelindung utama kepada penyu.

Ingat, penyu suka bertelur dan singgah di tempat yang tidak banyak gangguan!

Disebabkan itu, mengapa kehadiran penyu di Pulau Upeh terus menjunam jatuh secara mendadak setelah projek penambakan laut dijalankan dengan begitu hampir ke kawasan sekitar. Ini menyebabkan penyu-penyu yang kerap 'turun padang' ke sana, lari mencari kawasan lain yang jauh daripada hiruk pikuk duniawi.


Keterujaan

Saya sebenarnya sangat teruja untuk ke sana setelah saya mengetahui tentang kewujudan tempat ini semasa zaman sekolah sekitar 15+ tahun lepas. Namun, kekangan masa sebagai pelajar dan tidak memiliki bajet untuk ke sana beserta teman sekepala, maka saya sering menangguhkan hasrat ke sana sehinggalah semalam, dua hari lepas ( 01/04/2017, Sabtu ), saya nekad ke sana untuk mencapai apa yang dipendam selama ini. Bertemankan adik saya, kami memulakan perjalanan pada jam 3PM. Namun, perjalanan kami penuh dengan dugaan!

Setibanya kami di Pekan Umbai, tayar motor yang dinaiki saya bocor! Sudah terbang duit untuk ganti tayar. Setibanya di kawasan sekitar bandar, hujan renyai-renyai dan lebih menguji kesabaran, memandangkan kami datang pada hari Sabtu, dan kebetulan adalah awal bulan, maka, sudah menjadi lumrah alam, negeri ini dibanjiri dengan ribuan kereta bernombor plat luar seperti B, W, A, V, F, J malah sejauh C dan D! Ini mungkin menjadi faktor mengapa rakyat Melaka gemar bersosial di rumah sendiri menjelangnya hujung minggu.

Adik saya meragui kami akan sempat tiba di destinasi yang dituju. Tetapi, saya yakin kami bakal tiba di sana sebelum ditutup kepada pelawat pada jam 4.30PM. Disebabkan pusat ini terletak jauh sedikit ke dalam dan berhampiran pantai, maka, saya hampir empat kali melalui jalan raya utama ke sana sebelum terlihat sign board kecil tentang pusat itu. Setibanya di sana, tepat jam 4.16PM, dan saya menyuruh adik saya bertanya, adakah kami masih boleh melakukan lawatan. Nasib baik staf di situ membenarkan kami masuk tetapi tidak boleh menyentuh penyu yang ditempatkan di dalam kolam besar yang ada di situ.

Bagaimana Mahu Ke Sana?

Terdapat beberapa buah jalan pilihan. Namun, landmark paling mudah untuk diingati ialah, anda hanya perlu menyusuri sepanjang pantai Pengkalan Balak dan kemudian, anda akan memasuki Pantai Padang Kemunting. Pusat ini akan berada di sebelah kiri.

Tetapi, sekiranya anda bermula dari arah Hutan Simpan Sungai Udang menghala ke Masjid Tanah, pastikan ketika anda tiba di lampu isyarat simpang tiga, masuk ke kiri yang menunjukkan papan tanda menghala ke Pusat Falak Al Khawarizimi dan Tanjung Bidara. Simpang kiri tersebut akan menghala ke Jalan Padang Kambing. Di penghujung jalan ini, akan terdapat satu lagi simpang tiga. Tanjung Bidara dan Pusat Falak Al Khawarizmi akan melalui simpang kiri manakal arah kanan akan menuju ke Pengkalan Balak.

Ambil simpang kanan dan kemudian, anda akan melalui sebuah kampung kecil, Ayer Hitam Pantai. Kampung ini seakan pekan kecil dan terdapat simpang ke kiri yang menunjukkan arah 
Sekolah Menengah Arab Ehya Al Karim. 

Masuk ke simpang tersebut dan di hampir penghujung jalan ini akan terdapat sebuah simpang kanan yang dikenali sebagai Jalan Persiaran Pantai. Perlu diingat, simpang jalan ini adalah sebelum Sekolah Kebangsaan Tanjung Bidara. Jarak dari simpang ini ke pusat konservasi penyu tersebut sekitar 1KM.  Ketika melalui jalan ini, anda perlu cemerkap memerhatikan papan tanda pusat konservasi ini  pada sebelah kiri jalan. Ini disebabkan ianya kecil dan ramai terlepas pandang. 


Panjang sangat saya bercerita. Tanpa membuang masa, saya sajikan gambar-gambar berikut :



Inilah penyu Karah. Cantik tak?


Actually tidak boleh sentuh.
Tapi, kami terpaksa langgar peraturan



Adik saya pun join break the rule too!



Kolam takungan yang menempatkan penyu tersebut



Pasangan kekasih



Yang peliknya. Tempat ni ada simpan tung tung!
Staf di situ berkata, tung tung tu hanya menumpang sahaja



Ok, candid sedikit! 
Perasan tak belakang saya apa?



Ada galeri berkaitan penyu-penyu di dunia.






Ini adalah spesismen sebenar yang telah diawetkan



Tadi sudah puas menyentuh penyu original. 
This time, nak rasa pulak tekstur penyu plastik macam mana!
Hahaha



Pintu masuk ke pusat konservasi ini. 
Sorry guys, kalau gambar blur


Kalau ikut waktu sebenar operasi, ia telah ditutp pada jam 4.30PM. Tetapi, kami berjumpa dan bertanya dengan salah seorang staf di situ tentang sejarah pusat berkenaan, informasi berkaitan penyu di Melaka dan banyak lagi. Bayangkan, punya banyak soalan yang saya tanya sampaikan staf tu terpaksa tangguhkan masa untuk memberi penyu-penyu tersebut makan! Sorry ye En. Staf kerana terpaksa layan kerenah kami.

Kami bergerak keluar dari pusat tersebut sekitar jam 5PM. Sayu hati sebab tidak dapat menghabiskan masa lama di sana. Tetapi, kami dimaklumkan, pusat tersebut ada menganjurkan aktiviti bermalam di situ untuk menjejaki penyu mendarat dan bertelur, juga aktiviti sukarelawan membantu renjer mengutip telur-telur penyu di sepanjang pantai. Insyaallah, sekiranya ada masa nanti, saya mahu join.

Memandangkan ini pertama kali saya melalui jalan sepanjang Pantai Padang Kemunting, walaupun saya mengetahui bahawa pantai ini bersambung dengan Pantai Pengkalan Balak, tetapi, ketidak kesempatan untuk ke sana menjadikan saya pertama kali melalui jajaran tepi pantai. 

Seronok tengok aktiviti keluarga di sepanjang pantai ini. Ada Family Day, mandi-manda sehingga group tidur dalam khemah ( tent )pun ada! Hebat sungguh pengangan Pengkalan Balak ini even saya tidak berminat untuk mandi di situ disebabkan airnya yang tidak bersih berbanding Kuala Linggi.

Tetapi, ketika saya melalui kawasan tersebut, saya dan adik saya terpandang van TV3. Rupa-rupanya krew TV3 sedang melakukan shooting program Bersamamu. Lebih mengujakan, Cik Mazlin yang merangkap sebagai orang kuat TV3 juga ada!

Disebabkan beliau masih menjalani pengambaran, maka kebetulan pula perut sedang berkeroncong dan betul-betul dihadapan kami tersedia gerai makan. Apa lagi, melantak kuih + pisang goreng lah!

Sambil menguyah kudupan petang, pengambaran tersebut selesai dan saya terus mengejar 
Cik Mazlin. Saya meminta mahu bergambar dengannya dan beliau terus setuju! Beliau sangat-sangat peramah dan sempoi. Memandangkan emak saya penonton setia Bersamamu, beliau ucapkan terima kasih dan mengirim salam kepada emak saya. Tersentuh pula hati saya. 

Memang benar kata orang. Beliau seorang yang merendah diri, peramah dan mesra.



Thanks Cik Mazlin. 
Semoga Allah merahmati pengorbanan dan kerjaya cik. 
Amin


Langit semakin mendung dan perjalanan kami masih jauh.

Mahu ke mana?

Saksikan entri saya seterusnya!

1 comment:

Anonymous said...

Bagusnya.
Berapa tiket nak masuk?
Kena buat appointment dulu ke nak masuk?