Lupakan sebentar kisah hati saya dalam bahagian 1. Sekarang saya ingin mengajak anda semua ke sebuah lagi kawasan yang
SANGAT jarang didengar oleh kebanyakkan orang. Saya pasti mereka yang tinggal
menetap mahupun orang jati Melaka juga tidak tahu akan kewujudan tempat ini.
Saya menggelar tempat ini sebagai salah satu daripada 7 Keajaiban Semulajadi
Negeri Melaka kerana ianya sangat unik. Ikuti perjalanan tanpa sempadan saya ke
Asahan, sebuah pekan koboi yang hampir dilupakan dan berkongsi sempadan dengan
3 buah negeri di selatan Semenanjung Malaysia, Melaka, Johor dan Negeri
Sembilan dan di sini terletaknya Laman Tiga Budaya yang merupakan titik
pertembungan ketiga-tiga negeri ini!
p/s : Agak sukar mahu mencari hotel berdekatan kawasan ini memandangkan ianya kawasan terpencil ( maaf orang Asahan ) KECUALI sekiranya anda bermalam di homestay di sekitar Asahan atau Nyalas. Oleh itu, menetap di kawasan kota Melaka adalah pilihan yang lebih bijak menadnagkan terdapat banyak pilhan hotel. Lama sesawang Agoda.com dan Booking.com sangat membantu dalam mencari hotel pilihan anda.
Perjalanan
Setelah tiba di Pekan Selandar semula, saya
mengambil arah menuju ke Asahan dengan melalui Jalan Nyalas-Asahan. Dari
Selandar, jalan ini merupakan satu-satunya jalan utama yang menghubungkan
penduduk di Pekan Nyalas dan Asahan ke Selandar bagi mendapatkan bekalan minyak
petrol di stesen Petrsonas Selandar atau stesen Petron Batang Melaka. Ini
kerana, Nyalas dan Asahan TIDAK memiliki sebarang bentuk stesen minyak termasuk
stesen mini!
Ketika bergerak keluar dari Selandar, saya
sudah memerhatikan petunjuk bar minyak kenderaan sudah menjejak merah. Namun,
saya berasakan adalah terlalu awal untuk mengisi minyak kerana saya berpendapat
bahawa bekalan minyak semasa adalah mencukupi dan boleh diisi setelah tiba di
hentian seterusnya.
Ketika ini dalam perjalan, jalan ini agak
lengang kerana sememangnya jalan ini benar-benar remote dan hanya beberapa buah
rumah penduduk kelihatan. Tetapi, suasana hijau yang menghiasi sepanjang
perjalanan kami membuat saya tidak begitu terasa kebosanan. Apa yang lebih
menarik, sepanjang perjalan melalui jalan ini, amat mudah saya melihat kewujudan
masjid dan surau. Boleh dikatakan hampir setiap 800 meter, surau atau masjid
dapat ditemui dengan mudah. Walaupun tidak mengunjunginya, namun saya percaya
ia masih berfungsi dengan baik.
Setelah lebih 30 minit perjalanan, saya
tiba di Nyalas. Bagi saya ia sebuah pekan koboi yang agak maju. Boleh dikatakan
setaraf dengan bandar lama Merlimau cuma ketiadaan stesen minyak menjadikan ia
satu bencana kepada saya! Sebaik tiba, saya berhenti di sebuah bengkel motor
dan meminta adik saya bertanya kepada pekerja di situ adakah terdapat stesen
minyak berhampiran di Nyalas mahupun Asahan. Jawapan yang diterima adalah
‘TIDAK’ dan ini menimbulkan kegusaran saya bagaimana saya mahu meneruskan
perjalanan ke Asahan, lebih-lebih lagi pulang ke rumah?
Saya amat bernasib baik kerana saya
dimaklumkan bahawa hampir semua bengkel motor di sekitar Nyalas dan Asahan ada
menjual minyak petrol. Tanpa berfikir panjang, saya membeli sebotol ( 1000ml )
minyak petrol dengan harga RM 3.00.
p/s : First time isi minyak kuning ( RON 95
) untuk perjalanan jauh!
Saya juga sempat bertanya kepada pekerja
tersebut berapa jauh destinasi yang bakal kami tuju dan beliau berkata sekitar
8KM dari Pekan Nyalas. Setelah selesai memenuhkan tangki, saya terus memecut
menuju ke Asahan.
Perlu berhati-hati bahawa simpang menuju ke
Laman Tiga Budaya TIDAK akan kelihatan di sepanjang jalan bermula dari Pekan
Nyalas . Saya juga tidak faham mengapa tiada papan tanda diletakkan kerana ia
amat menyukarkan pemandu terutama bagi mereka yang pertama kali ke sini. Hanya
terdapat papan tanda yang menunjukkan arah ke Pekan Asahan. Dari simpang utama
Jalan Nyalas-Asahan menuju ke Pekan Asahan, ia tidak begitu jauh, sekitar 10 minit sahaja.
Setibanya di pekan, saya amat terkejut
kerana, kawasan ini sememangnya sebuah pekan koboi. Sangat remote dan tidak
seperti pekan-pekan lama lain di negeri Melaka yang pernah saya kunjungi.
Sebelum ini, saya sering beranggapan bahawa Kesang adalah kawasan pekan koboi
yang tidak membangun, namun tanggapan saya berubah setelah tiba di Asahan.
Tetapi, terpancar di wajah penduduk di
sini, mereka menikmati ketenangan hidup kerana tidak perlu bersesak dengan
jalan raya yang sibuk. Pada pandangan saya, pekan sebegini PERLU dibangunkan
dan dipelihara kerana definisi pekan koboi tidak semestinya perlu sentiasa
mundur namun perlu bergerak seiring dengan kemajuan tetapi masih mengekalkan identiti
tradisional pekan tersebut. Perubahan ini saya dapat lihat dengan ketara dengan
kemajuan Masjid Tanah yang sebelum ini kurang membangun, namun kini menjadi
sebuah bandar antara bandar. Ini juga dapat
dilihat dengan perubahan ketara Pekan Kuala Sungai Baru yang semakin
menampakkan kemajuan tetapi masih mengekalkan identiti klasik pekan ini.
Panjang sangat saya membebel, kembali ke
cerita asal!
Saya fikirkan sudah tiba di destinasi yang
dituju, namun saya silap. Saya perlu bergerak sejauh 7KM lagi untuk tiba ke
sana. Ketika ini, saya telah mula melihat Gunung Ledang dan percaya atau tidak,
sebenarnya, Asahan adalah salah sebuah daripada beberapa penempatan penduduk
yang terletak berhampiran kaki Gunung
Ledang. Siapa yang tidak mengenali Gunung Ledang yang memegang rekod gunung
tertinggi di Semenanjung Malaysia.
Akhirnya, saya berjaya tiba di Laman Tiga
Budaya. Sebenarnya, Laman Tiga Budaya merupakan sebuah taman tema air namun ia
ditutup sementara bagi kerja naik taraf. Ramai tidak sedar bahawa, di
penghujung jalan iaitu di penghujung pagar taman tema air ini, terletaknya batu
sempadan yang mewakili titik pertemuan tiga negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan
dan Johor. Titik yang dikenali sebagai tripoint ini merupakan titik persempadan
negeri yang diwujudkan dan ia disahkan oleh Pejabat Tanah dan Pemetaan Negara.
Yeah! Berjaya berdiri di atas titik pertembungan tiga negeri!
Pendek kata, sekiranya anda bediri di atas
batu ini, anda sebenarnya berada antara tiga negeri dan semestinya ia satu
perasaan yang tidak dapat dilupakan. Sebenarnya, kawasan ini dipagar dan dibina
monumen bagi menandakan batu sempadan ini, tetapi ia dimusnahkan oleh pihak
tidak bertanggungjawab!
Binaan asal monumen adalah seperti ini
Sedih dan hiba kerana, perasaan bangga dan
unik tempat ini dimusnahkan begitu sahaja. Tetapi, amat bernasib baik kerana
batu sempadan tersebut masih terselamat kerana ia disimen dan ditutup dengan
baik.
Di sini juga terdapat kawasan air terjun
yang agak tersorok, tetapi amat seronok untuk skodeng bermandi-manda
bagi menyejukkan badan yang kepanasan lebih-lebih lagi air tersebut adalah edisi khas dari puncak
Gunung Ledang.
Setelah puas bergambar kenangan, saya
bergerak pulang dan meninggalkan Asahan. Terlalu banyak kenangan di sini. Siapa
sangak Melaka memiliki satu anugerah semulajadi yang ramai tidak ketahui.
Asahan, pekan pertembungan tiga negeri yang
unik namun seolah-olah dilupakan.
Sepanjang perjalan saya dari Selandar –
Batang Melaka – Nyalas – Asahan, saya melihat banyak benda baharu yang unik. Ia
mungkin dianggap gila atau membuang masa bagi sesetengah pihak, namun saya
menganggapnya sebagai keunikan yang bernostalgia.
PERHATIAN
Sila isi minyak kenderaan anda dengan penuh
sekiranya anda mahu mengunjungi Asahan.
Juga sediakan 2 tong minyak sebagai persediaan TERUTAMA sekiranya anda menaiki
kereta. Anda mungkin terpaksa bermalam di tepi jalan sekiranya kenderaan anda
kehabisan petrol!
2 comments:
Nama Asahan nie sering juga terukir di mulut mak aku.
Tapi, aku lagi tertarik pada batu sempadan nie. Baru hari ini aku tau.
Sebab tempat in remote. No wonder, orang melaka sendiri poin ada yang tak tahu hehehe KECUALI sape yang tinggal area sini. Kalau Ada masa, singgahlah sini sementara masih wujud lagi kawasan in.
Post a Comment